Mengenai Kami

 

Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah menerbitkan musim ketiga rancangan majalah tv berbentuk masakan, “Inspirasi Koko”. Terbitan ini adalah menyusuli dua musim rancangan yang sama bermula tahun 2006 siaran di RTM.

“Inspirasi Koko” merupakan rancangan majalah tv yang memuatkan pelbagai informasi berkaitan koko, komoditi ketiga terbesar di Malaysia. Dalam usaha mempertingkatkan pengetahuan masyarakat tentang industri koko di Malaysia, rancangan ini menampilkan maklumat-maklumat semasa berkenaan kepelbagaian produk koko negara, usaha-usaha pengeluaran hasil koko, perluasaan pasaran, peningkatan mutu penanaman dan penghasilan produk koko melalui kajian dan penyelidikan, serta penyebarkan maklumat mengenai khasiat dan kebaikan koko kepada umum.

 

“Inspirasi Koko 3” terbahagi kepada 3 segmen utama iaitu:

 

1.    Bicara Koko

Segmen ini memuatkan pendedahan berkenaan setiap topik yang dipilih bagi setiap episod dengan paparan visual, penerangan menerusi suara latar, bantuan grafik untuk fakta dan angka serta temuramah melibatkan personaliti-personaliti tempatan. Topik-topik yang dipilih adalah berdasarkan kepentingan koko dan produk berasaskan koko kepada kesihatan, gaya hidup, penjagaan badan, kegunaan sebagai bahan bukan makanan dan industri koko Malaysia secara amnya.

 

2.    Segmen “Sajian Koko” menunjukkan demostrasi masakan 2 resipi terkini menggunakan produk asas koko dalam hidangan oleh Chef Kamarul dibantu oleh Serina.

 

3.   Segmen “Kreatif Koko” adalah ruangan yang menampilkan chef-chef jemputan mempamerkan kemahiran mereka mencipta pelbagai jenis hiasan dan bahan dari coklat dengan penuh kreativiti tersendiri.

 

Pengacara dan pelakon terkenal Serina Redzuawan telah dipilih sebagai hos rancangan ini sejak musim kedua manakala Chef Kamarul Hasni Che Rose (www.chefkamarul.com) , seorang selebriti chef yang sedang meningkat naik merupakan pakar masakan utama dalam rancangan ini. Kerja-kerja produksi “Inspirasi Koko 3” dilakukan oleh syarikat Sazawan Supply Sdn Bhd yang berpengalaman menerbitkan rancangan-rancangan masakan di RTM.

 

 

Utama | Mengenai Kami | Resipi | Kuiz | Profil Chef | Profil Host | Video | Krew | Hubungi