INSPIRASI KOKO MUSIM KE–5 2010
PENDAHULUAN
Secara puratanya
penggunaan produk–produk koko di kalangan masyarakat
Malaysia adalah sebanyak 600 gm setahun. Jumlah
penggunaan produk–produk koko ini masih rendah jika
dibandingkan dengan negara–negara
lain di dunia terutamanya di kalangan penduduk di Eropah
dengan per kapita penggunaan sebanyak 1 –
6 kg setahun.
Masyarakat Malaysia kurang
mengambil coklat disebabkan oleh pelbagai
faktor seperti harga, tabiat pemakanan harian, maklumat dan
pengetahuan yang terhad terhadap khasiat dan kebaikan
semulajadi produk–produk hasilan koko. Selain daripada itu,
masih lagi wujud pelbagai salah tanggapan dan imej–imej
negatif yang sering dikaitkan dengan produk–produk
koko terutamanya coklat seperti kegemukan, sakit gigi,
jerawat, kolesterol dan sebagainya.
Oleh itu, program untuk mendidik
dan menyebarkan maklumat dan pengetahuan yang tepat kepada
pengguna–pengguna tempatan perlu
dijalankan secara berterusan bagi menyebarkan khasiat dan
kebaikan semulajadi koko.
Sehubungan dengan itu,
pada tahun 2010 Lembaga Koko Malaysia (LKM) melalui kempen
promosi penggunaan koko telah menerbitkan rancangan
demonstrasi masakan berasaskan koko di televisyen atau lebih
dikenali sebagai `Inspirasi Koko’.
Program
Inspirasi Koko ini merupakan antara strategi jangka panjang
yang dijalankan oleh LKM untuk mendidik dan
menyebarkan maklumat dan pengetahuan yang tepat kepada
pengguna-pengguna tempatan secara berterusan bagi
menyebarkan khasiat dan kebaikan semulajadi koko.
Sehingga kini,
LKM telah menerbitkan sebanyak 5 rancangan Inspirasi Koko
iaitu Inspirasi Koko Musim Pertama pada tahun 2006,
Inspirasi Koko Musim Ke–2 pada tahun 2007, Inspirasi Koko
Musim Ke–3 pada tahun 2008, Inspirasi Koko Musim Ke–4 pada
tahun 2009 dan Inspirasi Koko Musim Ke–5 pada tahun 2010
ini. Rancangan ini ditayangkan
di TV2 setiap hari Ahad selama 30 minit dalam tempoh 13
minggu.
OBJEKTIF
PROGRAM
Objektif
program promosi koko di televisyen ini adalah untuk mendidik
serta menyebarkan maklumat dan fakta yang tepat mengenai
Koko, Kegunaan, Khasiat dan
Kebaikannya (4K’s)
kepada para penonton di televisyen khususnya suri rumah
sebagai salah satu usaha LKM
untuk meningkat dan menggalakkan lagi penggunaan koko di
pasaran tempatan bagi merangsang lagi pembangunan
industri koko di Malaysia.
Program
pendidikan dan kesedaran pengguna terhadap produk-produk
berasaskan koko ini diharap dapat melahirkan golongan
pengguna terutamanya suri rumah yang lebih berpengetahuan
dalam menentukan pemilihan makanan berdasarkan fakta
saintifik.
Program ini
juga akan dapat memberikan maklumat–maklumat dan fakta–fakta
tepat mengenai khasiat dan kebaikan serta kepelbagaian
kegunaan koko kepada pengguna. Di samping itu, salah
tanggapan terhadap koko yang sedia wujud dapat dikikiskan
lagi dan secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi
penggunaan koko di kalangan penduduk Malaysia terutamanya
golongan sasaran.
KONSEP/FOKUS PROGRAM
Untuk program
Inspirasi Koko Musim Ke–5 2010
ini,
konsep/fokus adalah kepada koko sebagai penyumbang utama
sumber pendapatan kepada pelbagai peringkat masyarakat yang
terlibat dalam industri koko. Ini termasuklah pengusaha
koko iaitu pekebun kecil dan estet, golongan peniaga koko
seperti pembekal, pengeksport dan pengimport koko, institusi
perbankan dan agensi–agensi kerajaan yang memberi pinjaman
dan insentif yang turut menyumbang kepada peningkatan
pendapatan negara.
Melalui program
ini LKM dapat
menyebarkan
pelbagai maklumat dan fakta sebagai panduan bukan sahaja
kepada mereka yang telah menceburi bidang–bidang perkerjaan
atau perniagaan yang berkaitan dengan industri koko tetapi
juga kepada mereka yang ingin menceburi bidang–bidang
tersebut. Ini secara tidak langsung akan membuka lebih
banyak pilihan dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Selain daripada
itu, melalui program ini juga akan dapat menyalurkan
pelbagai informasi dan maklumat untuk mempertingkatkan lagi
kefahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai kepelbagaian
kegunaan, khasiat serta kebaikan koko disamping mengikis
salah tanggapan umum terhadap koko yang sedia wujud.
KANDUNGAN PROGRAM
Program
Inspirasi Koko Musim Ke–5 2010
ini merupakan satu
rancangan yang mengeluarkan dan menayangkan program
televisyen yang berbentuk pendidikan dan aplikasi yang
memberi fokus kepada
koko sebagai
penyumbang utama sumber pendapatan kepada pelbagai peringkat
masyarakat yang terlibat dalam industri koko.
Isi kandungan program ini
merangkumi empat (4) segmen utama yang dikendalikan
menggunakan khidmat hos personaliti tempatan iaitu Puan
Serina Redzuawan dan dua orang chef professional untuk
Segmen Sajian Koko iaitu Chef Kamarul Hasni Bin Che Rose
untuk demonstrasi hidangan utama dan Chef Abdul Manan Abd.
Rahman untuk demonstrasi coklat buatan tangan.
Segmen-segmen
program ini adalah seperti berikut:-
i.
Bicara Koko dan Info Koko
– mengemukakan rakaman audiovisual/video perbincangan
mengenai pelbagai aspek industri koko di Malaysia
termasuklah agensi kerajaan, swasta, pertubuhan,
institusi perbankan serta orang perseorangan di lokasi
berkaitan.
Antara topik–topik yang dimuatkan dalam Segmen Bicara Koko
ini adalah perlaksanaan aktiviti–aktiviti yang melibatkan
koko oleh pelbagai pihak
untuk memastikan mereka mendapat pendapatan yang
berpatutan daripada setiap jenis pekerjaan, perusahaan dan
perniagaan koko yang dijalankan
atau diusahakan, masalah–masalah yang dihadapi,
insentif–insentif, kemudahan pinjaman, galakan kerajaan dan
sebagainya.
Pemilihan topik–topik ini akan dapat menyebarkan pelbagai
maklumat dan fakta sebagai panduan bukan sahaja kepada
mereka yang telah
menceburi bidang–bidang perkerjaan atau perniagaan yang
berkaitan dengan industri koko tetapi juga kepada mereka
yang ingin menceburi bidang–
bidang tersebut. Ini secara tidak langsung akan
membuka lebih banyak pilihan dan peluang pekerjaan kepada
rakyat tempatan.
Segmen ini juga akan memberi tip-tip dan petua-petua
termasuklah tip-tip berkaitan dengan penggunaan koko.
ii.
Sajian Koko –
menyediakan
rakaman audiovisual/video penyediaan dua menu makanan
kesihatan menggunakan bahan-bahan berasaskan koko.
Sebanyak 26 resipi masakan berasaskan koko akan disajikan
untuk 13 episod.
Setiap episod akan menyajikan dua resipi iaitu:-
a.
hidangan utama (main
course) seperti lauk pauk dan pembuka selera (appetizer)
b.
penyediaan pelbagai jenis
coklat buatan tangan.
Segmen ini juga akan memberi tip–tip
dan petua–petua
termasuklah tip–tip
penyediaan makanan dan coklat buatan tangan.
iii.Kreatif
Koko –
memaparkan rakaman audiovisual/video kreativiti penggunaan
koko.
Bagi membuka dan mengembangkan lagi minda dan minat para
penonton, segmen kreatif koko ini menyajikan pelbagai hasil
kreatif yang boleh
dibuat menggunakan produk koko terutamanya
coklat. Segmen ini dikendalikan oleh
chef–chef jemputan yang mahir dan kreatif.
iv.
Kuiz Inspirasi Koko
Di akhir setiap
episod terdapat soalan kuiz untuk menguji keberkesanan
program ini dalam menyebarkan maklumat dan fakta mengenai
koko untuk meningkatkan kefahaman para penonton. Hadiah
berupa wang tunai, buku resipi dan pelbagai hadiah iringan
diberikan kepada para pemenang.
MASA
TAYANGAN
Rancangan
Inspirasi Koko Musim Ke–5 2010 ini di tayangkan
menggunakan Bahasa Malaysia selama 30 minit bagi setiap
episod melalui TV 2 pada setiap hari Ahad jam 11:00 pagi
bermula pada 3 Oktober 2010 hingga 26 Disember 2010.
PERKHIDMATAN SOKONGAN
Laman Portal
Satu laman portal untuk program
ini telah disediakan dan boleh dicapai
melalui laman web
http://www.koko.gov.my. Laman portal
ini memuaturunkan video tayangan setiap episod,
resipi-resipi yang telah disiarkan, maklumat-maklumat lain
mengenai program Inspirasi Koko Musim
Pertama 2006, Inspirasi Koko Musim Ke–2 2007, Inspirasi Koko
Musim Ke–3 2008, Inspirasi Koko Musim Ke–4 2009 dan
Inspirasi Koko Musim Ke–5 2010 termasuklah
latarbelakang program, kuiz, profil hos dan chef.
Laman portal
ini juga mengandungi ruang komen khas yang memberi ruang dan
peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi dan
mengemukakan sebarang komen, cadangan dan permintaan yang
berkaitan dengan program ini khususnya, serta koko dan
produk koko amnya.
Sistem
Pesanan Ringkas (SMS)
Seperti program terdahulu,
perkhidmatan sokongan iaitu melalui sistem pesanan ringkas
SMS juga diwujudkan untuk menyokong program ini.
Melalui perkhidmatan interaktif mudah SMS
ini, para penonton dapat menyertai kuiz Inspirasi Koko
dengan menaip kod–kod yang ditayangkan di kaca TV pada
setiap episod dan hantarkan SMS ke nombor laluan yang diberi
iaitu 32776.
FAEDAH
PROGRAM
Program ini akan
dapat menyalurkan pengetahuan dan kefahaman mengenai
kepelbagaian teknologi terkini, kegunaan, khasiat dan
kebaikan koko.
Program ini akan dapat
mengurangkan salah tanggapan dan imej–imej
negatif yang sering dikaitkan dengan produk–produk
koko terutamanya coklat seperti kencing manis, kolesterol
dan sebagainya.
Program jangka panjang ini
diharap akan dapat meningkatkan lagi penggunaan koko
tempatan kepada sasaran 10,000 tan pada akhir tahun 2010.
Ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan lagi
pendapatan dalam negara.
Program ini juga merupakan salah
satu strategi jangka panjang untuk membangunkan industri
koko tempatan di samping menggalakkan dan mempromosikan lagi
penggunaan koko dalam masakan harian samada moden ataupun
tradisional.
Lembaga
Koko Malaysia
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Tarikh: 14hb September
2009
|