INSPIRASI KOKO MUSIM KE-6, 2012


A. PENDAHULUAN

Industri koko di Malayssia telah mengalami perubahan struktur yang ketara selepas tahun 1990an dengan meningkatnya kepentingan industri hiliran berasaskan koko berbanding pengeluaran biji koko mentah. Industri pemprosesan dan pengeluaran produk-produk separa proses koko telah berkembang pesat berikutan dari peningkatan dalam jumlah pengisaran tempatan. Sektor pengisaran telah mengalami pertumbuhan pada kadar purata sebanyak 9.9% di antara tahun 1990 hingga 2000 dan meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 11.6% sehingga tahun 2011. Pembangunan sektor pengilangan coklat dan konfeksi berasaskan koko turut mengalami peningkatan yang pesat. Ia didorong oleh peningkatan dalam penggunaan berikutan dari peningkatan dalam tingkat pendapatan masyarakat dari pelbagai lingkungan pendapatan serta pendapatan boleh guna isi rumah. Pengeluaran di sektor pengilangan coklat dan konfeksi berasaskan koko dianggarkan berkembang sebanyak 2.7% setahun daripada 8,300 tan metrik pada tahun 2000 kepada 10,800 tan metrik pada tahun 2011. Kini terdapat sebanyak 40 syarikat pengilang coklat dan konfeksi koko dan lebih daripada 133 syarikat usahawan coklat tempatan beroperasi di seluruh negara.

Pembangunan pesat kedua-dua sektor pengisaran koko dan pengilangan coklat telah menghasilkan nilai eksport sebanyak RM 3.96 billion pada tahun 2011 berbanding hanya RM 563.8 juta pada tahun 2000 iaitu meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 54.8%. Selaras dengan perkembangan aktiviti hiliran, peluang-peluang pasaran juga telah berkembang pesat bagi membolehkan setiap nilai pelaburan serta unit pengeluaran produk berupaya di pasarkan dengan lebih berkesan. Pasaran produk- produk koko kini mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik di kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa. Pasaran antarabangsa meliputi kira-kira 108 destinasi pasaran di seluruh dunia.

Kegiatan hilirran koko ini dijangka akan terus berkembang selaras dengan peningkatan nilai produk-produk separa proses koko dan produk akhir koko. Sehubungan itu, usaha- usaha berterusan perlu dilakukan untuk memastikan perkembangan berterusan koko sebagai tanaman komoditi ketiga terbesar di Malaysia selaras dengan objektif dan fungsi Lembaga Koko Malaysia sebagai peneraju utama industri koko Maaysia. Oleh itu, pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan industri koko berupaya kekel sebagai satu activiti ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara. Selaras dengan halatuju strategi jangka panjang bagi meningkatkan sumbangan terhadap ekonomi dan pendapatan negara, strategi untuk meningkatkan penggunaan koko tempatan menerusi pelbagai medium promosi akan terus dilaksanakan serta dipergiatkan.

B. LANTAR BELAKANG PROGRAM

Pelbagai program promosi koko tempatan telah dilaksanakan oleh LKM dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta untuk memberi pendedahan kepada pengguna tempatan berkaitan koko dan produk-produk koko, kegunaan, khasiat dan kebaikannya. Kesinambungan daripada aktiviti-aktiviti promosi yang telah dijalankan selama lebih 10 tahun termasuklah promosi koko di sekolah, penganjuran pesta-pesta koko serta penglibatan dalam pelbagai aktiviti pameran serta hebahan di media cetak, maka bermula pada tahun 2006, program promosi koko menerusi medium penyiaran elektronik telah diperkenalkan.

Secara keseluruhannya, program promosi koko yang telah dilaksanakan di televisyen didapati lebih berkesan untuk mendidik serta menyebarkan maklumat dan fakta mengenai khasiat dan kebaikan semulajadi serta kepelbagaian kegunaan koko. Selain daripada itu, medium penyiaran ini mempunyai liputan yang lebih besar di mana penyampaian maklumat adalah lebih luas, efektif dan efisien.

Bermula pada tahun 2006, LKM melalui program promosi penggunaan koko telah menerbitkan rancangan ‘Inspirasi Koko’ iaitu program demonstrasi masakan berasaskan koko di televisyen yang bertujuan untuk mendidik dan menyebarkan maklumat dan fakta yang tepat mengenai kegunaan, khasiat dan kebaikan semulajadi koko kepada pengguna tempatan secara berterusan.

Sehingga kini, LKM telah berjaya menerbitkan sebanyak 6 rancangan Inspirasi Koko iaitu Inspirasi Koko Musim Pertama pada tahun 2006, Inspirasi Koko Musim Ke-2 pada tahun 2007, Inspirasi Koko Musim Ke-3 pada tahun 2008, Inspirasi Koko Musim Ke-4 pada tahun 2009, Inspirasi Koko Musim Ke-5 pada tahun 2010 dan Inspirasi Koko Musim Ke-6 pada tahun 2012. Program ini telah berjaya menarik jumlah penonton tertinggi melebihi 4 juta penonton di sepanjang tempoh lima musim program ini bersiaran.

C. OBJEKTIF PROGRAM

Program Inspirasi Koko ini adalah inisiatif LKM ke arah mendidik serta menyebarkan maklumat dan fakta yang tepat mengenai khasiat dan kebaikan koko sebagai usaha berterusan LKM untuk mengikis salah tanggapan terhadap produk-produk koko seterusnya berupaya meningkatkan tahap penggunaan koko sediada.

D. KONSEP PROGRAM

Konsep program adalah perkongsian kepakaran serta memberi pendedahan yang lebih mendalam dan terperinci mengenai aplikasi koko secara berterusan dalam kehidupan seharian. Selain daripada dapat membantu mengembangkan peranan koko dalam pelbagai aspek kesihatan dan pemakanan, penglibatan dalam industri koko juga turut dilihat sebagai pilihan aktiviti perniagaan yang berupaya untuk menjana pendapatan serta menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

E. ISI KANDUNGAN PROGRAM

Seperti pada musim–musim terdahulu, Inspirasi Koko Musim Ke-6 masih mengekalkan segmen Kreatif Koko dan menambahbaik segmen Sajian Koko dengan pendekatan baru melalui segmen Tirai Koko.

Keistimewaan dan perbezaan Inspirasi Koko pada musim ini adalah di mana Segmen Tirai Koko meliputi pembelajaran untuk mengaplikasikan koko dalam kehidupan seharian seperti masakan, aspek pemakanan, kesihatan dan penjagaan diri disamping menjadikan koko sebagai sumber pendapatan. Perkongsian kepakaran ini melibatkan jalinan kerjasama dengan golongan yang terbabit dengan industri koko secara langsung ataupun tidak langsung seperti Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional, institusi kulinari, industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri perhotelan. Golongan ini merupakan nadi penggerak yang dapat membantu serta mendidik dan memberi pengetahuan secara khusus mengenai koko, kegunaan, khasiat dan kebaikannya.

Manakala, Segmen Kreatif Koko yang merupakan segmen yang sangat popular dan diminati oleh para penonton akan menonjolkan pelbagai kreativiti berasaskan koko terutamanya coklat yang dizahirkan dalam pelbagai bentuk produk kreatif yang sesuai untuk dipraktikkan sendiri serta boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Manakala di akhir setiap episod, terdapat soalan kuiz untuk menguji keberkesanan program ini dalam menyebarkan maklumat dan fakta yang tepat mengenai koko untuk meningkatkan kefahaman para penonton.

Selain daripada itu, program ini turut memuatkan Iklan Komersil (TVC) serta perkhidmatan sokongan lain termasuk publisiti dan pemantauan keberkesanan program melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Portal Inspirasi Koko.

F. PENGACARA

Inspirasi Koko pada musim ke-6 ini dikendalikan oleh Chef Amer Hamzah dan personaliti tempatan, Cik Faizatul Akmal binti Abdullah @ Izatul Akmal.

G. TARIKH DAN MASA TAYANGAN

Rancangan Inspirasi Koko Musim Ke-6 ini disiarkan untuk tayangan dalam Bahasa Malaysia. Rancangan yang akan bersiaran selama 30 minit bagi setiap episod ini akan disiarkan di TV2 pada setiap hari Ahad jam 5.00 petang bermula pada 7 Oktober hingga 30 Disember 2012.

H. PERKHIDMATAN SOKONGAN

Perkhidmatan sokongan yang disediakan ini untuk memastikan program ini mendapat sambutan dan liputan yang lebih luas seterusnya memberi impak yang besar terhadap objektif yang telah disasarkan. Laman portal untuk program ini boleh dicapai melalui laman sesawang http://www.koko.gov.my. Manakala perkhidmatan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) memberi peluang kepada penonton untuk menguji pengetahuan dan pemahaman penonton ke atas maklumat dan fakta yang dikongsi di sepanjang tempoh 13 episod program ini disiarkan iaitu melalui kuiz mingguan.

I. PENUTUP

• Program ini diharap akan dapat menyalurkan pelbagai maklumat dan fakta yang tepat terutamanya berkaitan dengan kegunaan, khasiat dan kebaikan semulajadi koko.
• Melalui program ini juga diharap akan dapat mengikis salah tanggapan dan imej negatif yang wujud terhadap koko dan produk-produk koko seterusnya meningkatkan pengunaan koko tempatan.
• Pelaksanaan program ini juga diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk menceburi bidang pekerjaan atau perniagaan dalam sektor koko dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan.

Lembaga Koko Malaysia
Kota Kinabalu, Sabah
1 Oktober 2012